Blok Bangunan Lama


Sejarah Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi bermula dengan kawasan yang dikenali Kampong Pokok Macang dan Kampong Kejai. Pada masa itu ramai murid di kedua-dua kampung ini belajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang. Ini disebabkan ketiadaan sekolah di kampung tersebut. Akibat daripada masalah perbelanjaan yang meningkat untuk menghantar anak dengan menggunakan bas, maka masyarakat setempat sebulat suara untuk memohon dengan Jabatan Pelajaran Negeri bagi mendapatkan sebuah sekolah di kampung ini.

Masyarakat kampung perlu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelopor yang telah berjaya mendapatkan permohonan untuk mendirikan sekolah iaitu Tuan Haji Ayob b. Md. Isa, En. Mat Zain b. Lebai Salleh, Tuan Haji Abdullah b. Jusoh, En. Senapiah, En. Nayan, En. Ismail, En. Saad, En. Saman dan En. Ahmad. Jabatan Pelajaran Negeri telah bersetuju dan menjadikan Dewan Orang Ramai sebagai cawangan bagi Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang di Kampung Pokok Macang dan Kampung Kejai pada 01 Januari 1975. Penyelia yang dilantik bagi menguruskan sekolah cawangan ini ialah En. Hashim bin Mohd Salleh. Sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Pokok Macang yang terdiri murid seramai 80 orang dan 3 bilik darjah.

Selang beberapa tahun kemudian bilangan murid bertambah ramai iaitu seramai 150 orang. Ini menyebabkan bilik darjah perlu ditambah. Oleh itu pelopor memohon bantuan peruntukan kepada wakil rakyat kawasan Sena iaitu Yang Berhormat Tn Hj Abdul Hamin B Tahir. Dengan peruntukan yang diperolehi bangunan sekolah dapat ditambah. Pada 01 Januari 1984 diberikan nama yang baru iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi dan diasingkan daripada Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang.

Guru Besar yang pertama diserah kepada Tuan Haji Awang Ahmad bin Tuan Haji Sulaiman.